Zlatan Ibrahimovic sepertinya sudah mengesahkan berakhirnya jodoh bersama Manchester United di Instagram
Zlatan Ibrahimovic seakan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Manchester United melalui akaun Instagramnya selepas kontraknya berakhir secara rasminya pada hujung Jun ini.
Penyerang Sweden menghabiskan aksi musim lalu di Old Trafford dan menjadi penjaring terbanyak Manchester United dengan 28 gol dalam semua pertandingan. Antara gol penting Ibra adalah jaringan semasa perlawanan akhir Piala EFL dengan kemenangan ke atas Southampton 3-2.
United kini kelihatan sudah bersedia untuk menandatangani penyerang Real Madrid, Alvaro Morata sebagai penggantinya. Manchester United memilih untuk tidak menawarkan kontrak lanjutan satu tahun seperti terkandung didalam kontraknya sebelum ini semasa Ibra berpindah dari Paris Saint-Germain.
Walaupun telah disahkan oleh pihak kelab bahawa Ibrahimovic akan terus berlatih bersama United sehingga beliau pulih dari kecederaan ligamen lutut, namun harapan untuk menandatanganinya semula mungkin tidak menjadi kenyataan. Melalui status di laman Instagramnya, Zlatan dilihat bakal terus meninggalkan Manchester United.
Pemain berusia 35 tahun itu telah memuatnaik status berserta gambar dirinya meraikan gol untuk United di Instagram dengan tajuk :
‘I came. I said. I conquered.’
Ibrahimovic telah dikaitkan dengan perpindahan ke Atletico Madrid dan juga kelab-kelab lain. Ibra seperti yang diketahui adalah seorang yang tidak mudah patah semangat dan ingin terus bermain walaupun sudah berusia 36 tahun. Ini adalah kali pertama sepanjang kariernya dia mengalami kecederaan serius dan terpaksa berehat dalam tempoh yang agak lama.
Ibrahimovic memulakan kerjayanya di Malmo, dan sejak itu dia telah menjadi bintang untuk gergasi Eropah seperti Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, AC Milan dan PSG sebelum berhijrah ke Liga Perdana pada musim lalu.
Comments
Post a Comment