Subscribe in a reader

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Skip to main content

TERKINI

JANGAN AMBIL MUDAH ANCAMAN BENFICA - ERIC BAILLY

KEKALAHAN DI SKOPJE...PERMULAAN YANG BAGUS UNTUK MUSIM BARU UNITED?








Manchester United memulakan musim kompetitif mereka dengan kekalahan selepas tewas 1-2 kepada juara Eropah, Real Madrid dalam perebutan Piala Super UEFA di Skopje awal pagi tadi.

Walaupun sedikit kecewa dengan kekalahan tersebut namun prestasi barisan United sepanjang 90 minit aksi di Philip II Arena itu sebenarnya jauh lebih bagus berbanding ketika mereka menjulang trofi Liga Europa di Stockholm Mei lalu.

Meskipun terdapat beberapa kelemahan terutamanya koordinasi di benteng pertahanan dan bahagian tengah yang masih longgar, saya percaya Mourinho memiliki skuad yang lebih bagus berbanding apa yang beliau miliki musim lalu. Real muncul pemenang tetapi United juga membuktikan bahawa mereka sudah bersedia untuk muncul antara pencabar terkuat di pentas Liga Juara-Juara menerusi persembahan terpuji di babak kedua.






Kesilapan Strategi Mourinho?


Walaupun Real muncul pasukan yang lebih dominan terutamanya di pertengahan babak pertama perlawanan namun United kembali bangkit memberikan tekanan di babak kedua. Bagaimanapun ada sedikit perdebatan tentang keputusan Mourinho menggunakan formasi 3-5-2 menerusi penggunaan dua wing back yang dimainkan Antonio Valencia dan Jesse Lingard di babak pertama.

Gerakan-gerakan yang dilakukan Lingard dan Valencia berjaya dineutralkan oleh dua full back agresif lawan (Dani Carvajal serta Marcelo) hingga menyaksikan United gagal mengembangkan permainan mereka. Kekerapan Valencia dan Lingard untuk naik ke atas juga akhirnya mendedahkan United kepada serang balas pantas lawan yang sering dimulakan sama ada oleh Carvajal atau Marcelo.

Dari sudut lain pula sistem permainan yang digunakan Mourinho ini juga menyaksikan Paul Pogba lebih banyak melakukan kerja-kerja bertahan di babak pertama berbanding tugas utama beliau dalam menyusun gerakan serangan ketika situasi ofensif. Mujurlah perubahan segera dilakukan Mourinho di babak kedua apabila beliau kembali menggunakan formasi 4-3-3 yang menyaksikan Marcus Rashford sentiasa memberikan ancaman dari sebelah kiri.






Prestasi Lindelof Yang Perlu Dibimbangkan


Pada aksi pra musim beliau menghadiahkan sepakan penalti kepada Real dan awal pagi tadi kegagalannya mengawal Casemiro membolehkan pemain itu menjaringkan gol pertama lawan.

Ketepikan sebentar tentang perdebatan sama ada Casemiro berada dalam posisi offside ataupun tidak kerana sebagai pemain yang digambarkan bakal memikul peranan utama di benteng tengah United musim ini, Lindelof nampaknya perlu bekerja lebih keras meningkatkan aspek permainannya serta koordinasi bersama rakan lain di bahagian belakang menjelang sepak mula musim baru.






Matic...Pembelian Yang Berbaloi


Nemanja Matic tidak perlu menunggu terlalu lama untuk membuktikan kepada penyokong-penyokong United bahawa beliau bakal memainkan peranan besar di bahagian tengah The Red Devils musim ini menerusi prestasi terpuji sepanjang 90 minit aksinya di Philip II Arena awal pagi tadi.

Berdepan trio terbaik lawan yang dibarisi Casemiro, Luca Modric dan Toni Kroos di bahagian tengah, Matic menunjukkan kepada kita mengapa Mourinho sanggup membayar sebanyak £35 juta untuk khidmat seorang pemain yang sudah pun berusia 29 tahun seperti beliau.
Kerja kerasnya membantu benteng pertahanan ketika Real mengasak hebat di babak pertama atau ketika mengalirkan bola ke hadapan ketika ada kesempatan untuk menyerang menjadikan beliau pemain terbaik United di atas padang selain memberikan keseimbangan kepada permainan barisan Mourinho.

Menerusi statistik yang dikeluarkan WhoScored.Com, Matic melakukan empat terjahan bersih, satu intercept dan dua kali clearance dalam situasi bertahan manakala ketika menyerang pula beliau melepaskan satu percubaan tepat, melakukan dua key passes dan peratusan ketepatan hantarannya pula mencapai 87.8%.






Jangan Pernah Remehkan Fellaini


Jika Matic memainkan peranannya dengan sangat berkesan sebagai `generator’ di bahagian tengah, kemasukkan Fellaini di babak kedua pula mengubah corak permainan United. Keputusan Mourinho memasukkan beliau di minit ke-56 menyaksikan barisan belakang Real terdesak dalam menangani kekuatan fizikal yang dimiliki Fella terutamanya dalam situasi perebutan bola tinggi.

Dalam perlawanan ini, Mourinho melakukan hal yang sama sepertimana beliau lakukan musim lalu iaitu menggunakan ketinggian dan kekuatan Fella untuk memporak-perandakan pertahanan lawan menerusi hantaran-hantaran bola tinggi yang ditujukan terus ke arah kepala pemain berambut afro itu.

Meskipun diakui bahawa Fella bukanlah pemain yang menarik untuk disaksikan aksinya, namun dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa beliau merupakan senjata `tambahan’ yang dimiliki Mourinho jika pengendali itu mendapati barisan hadapannya buntu dalam usaha memecah kekebalan benteng pertahanan lawan.

Kehadirannya di atas padang selama 34 minit menjadikan United barisan yang lebih berbahaya dan berbeza berbanding penampilan mereka di babak pertama. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa keberadaan Fella berjaya memecah fokus benteng pertahanan Real sekaligus membuka ruang lebih luas buat Romelu Lukaku bergerak hingga membolehkan bekas penyerang Everton itu menewaskan Keylor Navas di minit ke-62.






Selepas Tamat Perlawanan...


Menghadiahkan medal naib juara kepada penyokong mungkin satu cara Mourinho mahu segera melupakan kekalahan yang dialami skuadnya kepada juara Eropah itu. Selepas tamat perlawanan, Mourinho menegaskan bahawa fokus beliau kini tertumpu sepenuhnya dalam menghadapi musim baru yang panjang.

Hujung minggu ini, United bakal berdepan West Ham di Old Trafford dan sudah tentu kemenangan sulung di gelanggang sendiri dalam saingan liga menjadi misi pertama yang perlu disempurnakan barisan pemainnya. Kekalahan kepada Real perlu segera dilupakan kerana ia hanyalah langkah permulaan United sebelum menghadapi kempen musim baru.

Melihat kepada penampilan United sepanjang 90 minit aksi di Philip II Arena, percayalah bahawa Mourinho kini memiliki skuad yang berbeza dan lebih kuat untuk berdepan cabaran musim 2017/18. Adakah beliau sudah berpuashati dengan barisan pemain dan kekuatan skuad yang dimilikinya? Saya fikir tidak kerana mungkin ada lagi pemain baru yang bakal dibawa masuk untuk melengkapkan `kuota’ empat pemain sepertimana diinginkan beliau...

Glory Glory Manchester United!!!

Credit - Azhar Johar | Moderator AMU

HIGHLIGHT PERLAWANAN PAGI TADI






Comments

BERITA POPULAR

Legenda Manchester United Sir Alex Ferguson memberi mesej kepada skuad Jose Mourinho

BAGAIMANA UNTUK MENGATASI FORMASI 3-4-3 ?

Bintang United luang masa berfoto dan menandatangani autograf sebelum latihan